Ahad, 14 Mac 2010

NOVEL KOMSAS TINGKATAN 2

TIMULAK KAPAL PERANG
NOTA EFEKTIF UNTUK PEPERIKSAAN

SINOPSIS

Cerita novel Timulak Kapal Perang karya Azman Nordin ini dimulakan dengan Andayu, seorang gadis remaja yang berusia 15 tahun menyertai pasukan sukarelawan menentang penjajahan Inggeris di Daerah Inanam. Andayu dan rakan-rakannya Sirah, Suri, Unong dan Tiah member sokongan kepada pasukan di bawah pimpinan Paduka Mat Salleh. Mereka sering ke tempat sulit untuk belajar ilmu silat dan bermain senjata sebagai persiapan menentang Inggeris.
Sebelum kematian ayahnya, perjuangan Andayu tidak direstui. Andayu begitu anti kepada penjajahan, sedangkan ayahnya propenjajah dan bekerja dengan Inggeris sebagai pemungut cukai. Penduduk kampong terutama para pedagang sering dipaksa oleh Inggeris supaya membayar cukai. Hal ini menimbulkan kemarahan penduduk kampong dan ingin mengusir Inggeris dari Inanam.
Pada suatu petang, Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya ditangkap oleh Inggeris. Andayu mengekori pak Cik Tidung sementara rakan Andayu memberitahu kejadian tersebut kepada Paduka Mat Salleh. Paduka Mat Salleh dan pasukan sukarelawannya telah pergi menyerang Pulau Gaya dan menyelamatkan pak Cik Tidung dan pada masa yang sama, kampong mereka di daerah Inanam telah diserang. Mereka yang terselamat berkumpul di rumah Dayang Bandan sebelum ke Teluk Marudu. Mereka berlindung di lereng Gunung Kinabalu di Ranau, tetapi Inggeris dapat menyerang mereka dengan senjata yang lengkap termasuk beberapa laras meriam. Dalam peperangan itu, Pak Cik Tidung terkorban. Mereka berjaya menewaskan Inggeris, Andayu, Halipan dan lain-lain meninggalkan lereng Gunung Kinabalu melalui sebuah jalan sulit menuju ke tempat yang lebih selamat.

TEMA
Tema novel Timulak Kapal Perang ialah semangat perjuangan untuk membebaskan tanah air daripada dijajah oleh bangsa asing. Penduduk daerah Inanam telah bangkit menyusun angkatan perangnya untuk menentang Inggeris yang mahu campur tangan dalam urusan ekonomi, politik, dan pungutan cukai negeri Sabah khususnya daerah Inanam.

PERSOALAN

Persoalan-persoalan yang terdapat dalam novel Timulak Kapal Perang karya Azmah Nordin ialah persoalan keberanian seorang gadis. Andayu digambarkan sebagai seorang gadis yang berani kerana sanggup menyertai pasukan sukarelawan walaupun dia tahu banyak risiko yang perlu dihadapinya.
Persoalan Penindasan orang Inggeris terhadap penduduk tempatan juga digambarkan dalam novel ini. Mereka memaksa penduduk kampong dan golongan pedagang membayar cukai di pangkalan.
Selain itu, persoalan kebijaksanaan pemimpin juga diketengahkan. Sebagai contoh, Paduka Mat Salleh seorang yang bijak dalam membuat keputusan. Beliau telah membawa orangnya ke Teluk Marudu selepas Inanam diserang.
Persoalan pengorbanan para pejuang turut diungkapkan oleh pengarang. Contohnya, Halipan dan rakan-rakan seperjuangannya sanggup pergi berjuang ke Pulau gaya sehingga ada yang tercedera dan terkorban.
Persoalan seterusnya ialah keteguhan pendirian. Paduka Mat Salleh merupakan seorang yang berpendirian teguh. Beliau tidak mahu menyerahkan Inanam kepada inggeris walaupun mengahadpi tentangan daripada mereka.

PLOT

Permulaan cerita Timulak Kapal Perang karya Azmah Nordin mengisahkan Andayu terlewat bangun tidur selepas beramu pada petang itu. Selepas sembahyang maghrib, dia pergi ke tempat sulit untuk belajar silat dan bermain senjata sebagai persediaan untuk menentang Inggeris yang menjajah tempat mereka.
Cerita terus berkembang dengan pelbagai peristiwa dialami oleh Andayu sepanjang menyertai perjuangan membebaskan tanah air mereka. Andayu telah kematian ayahnya akibat dipatuk ular senduk.
Konflik dalam novel ini pula ialah peristiwa penawanan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya oleh Pihak Inggeris selepas satu pertelingkahan antara Pak Cik Tidung dengan pemungut cukai di pinggir Sungai Sungut. Andayu dan rakan-rakannya terlibat dalam peristiwa itu. Andayu mengekori pihak Inggeris manakala kawan-kawannya memberitahu Paduka Mat Salleh tentang perkara itu. Andayu dapat mengesan ke mana Pak Cik Tidung ditawan.
Pulau Gaya diserang merupakan klimaks dalam novel ini. Pasukan Sukarelawan pimpinan Paduka Mat Salleh berjaya menyelamatkan Pak Cik Tidung, tetapi pada masa yang sama daerah Inanam dan Mengkabung diserang oleh Inggeris. Penduduk yang terselamat berkumpul di rumah Dayang Bandan sebelum bertolak ke Teluk Marudu. Mereka berlindung di lereng Gunung Kinabalu,tetapi Inggeris datang menyerang dan Pak Cik Tidung terkorban dalam pertempuran tersebut.
Peleraiannya Andayu, Halipan dan yang lain bergerak meninggalkan kawasan tersebut dan mencari tempat baru yang selamat.

KEISTIMEWAAN WATAK UTAMA

Antara keistimewaan watak Andayu dalam novel Timulak kapal Perang karya Azmah Nordin ialah dia digambarkan sebagai seorang yang berani. Keberaniannya terserlah apabila dia mengekori dan mengintip pihak Inggeris yang menawan Pak Cik Tidung bersendirian hingga ke Pulau Gaya. Andayu juga seorang gadis yang bersemangat patriotic. Dia sanggup menyertai pasukan sukarelawan untuk menentang Inggeris walaupun banyak risiko yang perlu dihadapinya.
Andayu juga seorang yang degil. Dia tidak mendengar nasihat ayahnya yang menyuruhnya berhenti bersilat dan tidak mahu kawan-kawannya mengekorinya ketika mengekori Pak Cik Tidung. Andayu juga digambarkan sebagai antipenjajah. Dia tidak mahu dikahwinkan dengan kawan ayahnya yang bekerja dengan Inggeris dan menganggap mereka sebagai pengkhianat bangsa.
Andayu juga seorang yang penyayang. Walaupun hubungan Andayu dengan arwah ayahnya tidak begitu baik, namun dia amat menyayangi ayahnya dan selalu mengingatinya. Dia juga amat menyayangi Mak Cik Mala.

PERBEZAAN & PERSAMAAN WATAK
(Andayu Vs Ayahnya)


Antara perbezaan Andayu dan ayahnya dalam novel Timulak Kapal Perang ialah Andayu seorang yang antipenjajah, sementara ayahnya pula merupakan seorang yang propenjajah. Contohnya Andayu menyertai pasukan sukarelawan menentang penjajah sebagai pemungut cukai di pangkalan.
Selain itu, ayah Andayu sukakan kehidupan yang mewah, tetapi Andayu sukakan kehidupan yang sederhana. Sebagai contoh, ayahnya sanggup bekerja dengan Inggeris supaya kehidupannya mewah, manakala Andayu suka kehidupan yang sederhana daripada mengkhianati bangsanya.
Di samping itu juga, bapa Andayu tidak menyukai Haji Utih, manakala Andayu amat menghormatinya. Sebagai contohnya, setiap kali Andayu menceritakan kebaikannya, ayahnya pasti menyangkalnya.
Namun, kedua-duanya mempunyai persamaan. Andayu dan bapanya digambarkan bersifat penyayang. Ayahnya amat menyayangi arwah isterinya kerana setiap kali merajuk dengan Andayu, dia pasti akan ke kubur isterinya. Manakala Andayu pula amat menyayangi bapanya kerana dia selalu mengingatinya walaupun bapanya telah meninggal dunia.
Di samping itu, kedua-duanya digambarkan mempunyai sifat degil. Sebagai contoh, bapa Andayu tidak mendengar kata-kata Andayu supaya tidak mengikut kehendak orang Inggeris, namun bapanya tetap berdegil. Manakala Andayu pula tidak mendengar kata-kata ayahnya supaya tidak menyertai pasuka sukarelawan menentang penjajah.

WATAK SAMPINGAN

Paduka Mat Salleh merupakan penghulu daerah Inanam. Beliau berketurunan bangsawan daripada keluarga Sultan Sulu. Seorang yang gagah perkasa, handal dalam ilmu persilatan dan ilmu batin. Beliau mengajar anak-anak muda bersilat di tempat sulit. Beliau mengetuai pasukan Keamanan yang bergiat untuk menghalau Inggeris dari Sabah. Beliau merupakan seorang pemimpin yang berwibawa, berfikir sebelum bertindak, bijak mengatur rancangan, bijak mengambil keputusan, dan tidak bertindak terburu-buru.
Halipan merupakan anak saudara Mat Salleh yang masih remaja dan berketurunan bangsawan daripada Kesultanan Sulu. Seorang yang bertubuh besar dan tinggi, gagah dan berani. Dia seorang yang handal bersilat, cekap menggunakan senjata dan cekap menunggang kuda. Merupakan seorang yang bertanggungjawab dan baik hati. Contohnya, dia mencari Andayu apabila Andayu tidak pulang semenjak peristiwa penangkapan Pak Cik Tidung. Dia mencintai Andayu tetapi tidak berani berterus terang. Terlibat dalam menentang Inggeris dalam peperangan di Pulau gaya dan lereng Gunung Kinabalu.
Mak Cik Mala, merupakan ibu saudara Andayu yang bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Paduka Mat Salleh. Suaminya mati kerana diserang lanun. Merupakan seorang yang penyayang, baik hati dan pandai bercerita.
Pak Cik Tidung, ialah saudara sepupu Mak Cik Mala dan bapa saudara Andayu. Semenjak kecil lagi telah menjadi rakan sebaya Paduka Mat Salleh. Beliau bekerja sebagai peniaga garam di desa. Merupakan seorang pembengis dan panas baran. Beliau telah membunuh dua orang pegawai Inggeris di pengkalan. Beliau seorang yang bersem angat patriotic, buktinya mahu menghalau inggeris dari tanah airnya. Pak Cik Tidung akhirnya mati ditembak oleh askar Inggeris.



LATAR MASYARAKAT

Latar masyarakat yang terdapat dalam novel Timulak Kapal Perang karya Azmah Nordin ialah masyarakat Bajau yang bekerjasama. Contohnya, Mak Cik Mala dan Andayu beramu bersama-sama penduduk kampong di lereng bukit.
Selain itu, penduduk Inanam ialah masyarakat yang beragama Islam. Keadaan ini dapat dilihat melalui watak Andayu yang menunaikan solat Maghrib pada permulaan cerita. Penduduk Inanam juga digambarkan sebagai masyarakat yang cintakan tanah air. Andayu dan rakan-rakannya menyertai pasukan sukarelawan semata-mata ingin menewaskan Inggeris.
Terdapat juga masyarakat pemungut cukai. Contohnya, golongan pedagang sering berbalah dengan pemungut-pemungut cukai kerana mereka dipaksa membayar cukai. Masyarakat penjajah Inggeris turut terdapat dalam novel ini. Mereka digambarkan bersifat bengis dan zalim. Pak Cik Tidung disiksa dengan teruk ketika di Pulau Gaya kerana tidak mahu menjawab pertanyaan mereka.

LATAR MASA

Antara latar masa yang terdapat dalam novel Timulak Kapal Perang karya Azmah Nordin ialah pada waktu senja. Andayu mengekori pihak Inggeris yang menawan Pak Cik Tidung pada waktu senja.
Latar masa seterusnya ialah pada waktu tengah hari. Pertelingkahan antara pak Cik Tidung dan Paduka Mat Salleh telah berlaku pada waktu itu. Pak Cik Tidung tidak sabar-sabar untuk bertindak balas atas kezaliman pihak Inggeris. Latar masa pada waktu malam juga dipaparkan dalam novel ini. Pihak Inggeris telah menyerang Mengkabung dan Inanam pada waktu malam iaitu ketika para pejuang sedang bertempur Pulau Gaya.
Selain itu, latar masa waktu petang turut terdapat dalam novel ini. Andayu telah berselisih pendapat dengan ayahnya tentang pinangan ketua pemungut cukai yang bekerja dengan Inggeris. Latar masa seterusnya ialah pada waktu maghrib. Andayu telah menunaikan solat maghrib sebelum dia pergi berlatih silat di rumah Paduka Mat Salleh.

LATAR TEMPAT

Antara latar tempat yang dipaparkan dalam novel Timulak kapal Perang ialah di Pangkalan Sungai Sugut. Telah berlaku perbalahan antara paduka mat Salleh dan ketua pemungut cukai kerana beliau enggan membayar cukai kepada Inggeris.
Seterusnya di pinggir Sungai Sugut telah berlaku peristiwa penawanan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya oleh Inggeris. Selain itu, rumah paduka Mat Salleh telah dijadikan tempat pasukan sukarelawan dan pengikut-pengikut Paduka Mat Salleh belajar silat dan bermain senjata.
Latar tempat seterusnya ialah daerah Inanam dan Mengkabung. Di situlah tempat Inggeris melancarkan serangan sebagai tindak balas atas serangan yang diketuai oleh Paduka Mat Salleh. Rumah Andayu juga latar tempat dalam novel ini. Andayu dan ayahnya telah bertengkar tentang peminangan ketua pemungut cukai yang bekerja untuk Inggeris.

GAYA BAHASA

Gaya bahasa dalam novel Timulak Kapal Perang karya Azmah Nordin ini banyak menggunakan dialek tempatan. Contohnya, Bahasa Bajau : pak lot man langgisan dan Bahasa Suluk: tangunggu tiban gandang. Terdapat juga penggunaan bahasa asing iaitu bahasa Arab, contohnya; takdirullah, hidayah, iradat, arwah dan barzakh. Azimah Nordin juga banyak menggunakan perbandingan, gaya bahasa Simile. Sebagai contoh; “…air muka Paduka Mat Salleh begitu tenang bagaikan air dalam kuali….” . Contoh seterusnya; Andayu memerhatikan air muka Paduka Mat Salleh berubah, macam bulan pudar.
Terdapat juga penggunaan Metafora, contohnya; ….kepanasan itu lahir daripada api kemarahan yang membahang di dalam dada bidang bapa saudaranya, Paduka Mat Salleh. Contoh kedua; Pandangan mata Halipan yang liar, terhenti di bawah serumpun pohon buluh di gigi sungai, berhampiran dengan pangkalan.
Penggunaan gaya bahasa Personifikasi juga terdapat dalam novel ini, contohnya; Sinar matahari yang tinggal beberapa carika sahaja, melenggok-lenggok menari di matanya dan Sayup-sayup kedengaran seruan azan meniti di udara dan menyentuh hatinya. Gaya bahasa Peribahasa juga digunakan dalam novel, contohnya; “ Hah, kenapakah tidak kelam disigi, lekung ditinjau? Soal Haji Utih…dan Hah, hilang dicari, terapung direnangi, terbenam diselami.


NILAI-NILAI MURNI

Antara nilai murni yang terdapat dalam novel Timulak kapal Perang kerya Azmah Nordin ialah keberanian. Andayu digambarkan sebagai seorang gadis yang berani kerana dia bersendirian telah mengekori Pak Cik Tidung hingga ke Pulau Gaya. Nilai kegigihan turut dipaparkan dalam novel ini. Andayu begitu tabah menjalani kehidupan. Dia begitu tabah terutama ketika berseorangan di dalam hutan ketika mengekori pihak Inggeris. Walaupun dalam keadaan badan yang basah kuyup, dia tetap tidak patah semangat.
Seterusnya nilai persahabatan diketengahkan. Andayu sanggup melanggar perinbtah ayahnya semata-mata ingin berlatih silat bersama-sama rakannya. Nilai seterusnya ialah nilai semnagt patriotism di kalangan penduduk tempatan. Sebagai contohnya, Paduka Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya di Pulau Gaya sanggup berkorban nyawa demi semangat patriotism mereka sehingga ada yang terkorban.
Selain itu, nilai kasih saying turut dikupas oleh pengarang. Walaupun Andayu tidak sependapat dengan ayahnya, namun kasih saying terhadap ayahnya tidak pernah luntur. Mak Cik Mala juga sangat menyayangi Andayu, dia meminta Paduka Mat Salleh mencari Andayu, anak saudaranya yang hilang.


PENGAJARAN

Antara pengajaran yang terdapat dalam novel Timulak Kapal Perang karya Azmah Nordin ialah, kita haruslah memupuk semangat cintakan Negara. Sikap para sukarelawan yang sanggup berjuang demi mempertahankan bangsa dan tanah air haruslah dicontohi.
Selain itu, kita haruslah cekal menghadapi cabaran hidup. Andayu tidak gentar berhadapan dengan stuasi peperangan bersama kawan-kawannya. Kita juga mestilah tolong menolong antara satu sama lain. Mak Cik Mala menolong menjaga Andayu dan sentiasa bertanggungjawab terhadapnya selepas kematian bapanya.
Kita hendaklah menjaga tutur kata kita terutama ketika bercakap dengan ibu bapa. Bapa Andayu amat tersinggung dengan kata-kata Andayu yang menganggap pilihannya untuk suami Andayu sebagai anjing Inggeris. Dia berasa kecewa dan merajuk.

PERISTIWA YANG MENYENTUH HATI

Antara peristiwa-peristiwa yang menyentuh hati dalam novel Timulak Kapal Perang karya Azmah Nordin ialah sewaktu bapa Andayu dipatuk ular ketika menziarahi kubur isterinya.
Andayu pula tanpa sengaja telah mengucapkan perkataan “Anjing Inggeris” yang telah membuatkan ayahnya tergurus hati walaupun perkataan itu bukan ditujukan kepada bapanya.
Selain itu, peristiwa lain yang menyentuh hati ialah ketikan Pak Cik Tidung disiksa tanpa belas kasihan di Pulau Gaya.
Apabila Andayu pulang, dia terkejut kerana mendapati rumahnya telah terbakar. Dia menangis teresak-esak mengenangkan Mak Cik Malanya.
Pak Cik Tidung telah terkorban dalam pertempuran. Andayu begitu sedih kerana perginya orang yang amat dihormatinya.


SELAMAT MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN