Isnin, 23 Ogos 2010

SAJAK

MERDEKA YANG DILAUNG



Saban tahun Ogos pasti tiba
Saban tahun juga Ogos pasti disambut meriah
Merdeka pasti dilaung
Pelbagai gaya pelbagai aksi meraikan merdeka
Menjengah saja Ogos, Jalur Gemilang mula terpasang
Berkibar megah di bumbung kereta
Malah terbentang di bangunan-bangunan
Harganya tidaklah semahal mana
Tapi ada jua insan yang berkira
Untuk mengibar sejalur bendera mini
Pembakar semangat jiwa merdeka
Anak muda begitu ghairah melaung merdeka
Seolah-olah gaya Tunku melaung MERDEKA
Anak-anak kecil menjerit-jerit merdeka
melihat sahaja Jalur Gemilang
Mulut pasti melaung merdeka
Merdeka...Merdeka

Merdeka yang dilaung
Pastinya tidak sama teriak dan nadanya
Anak kecil bernada suka-suka
Kerna meriah sambutan ibu ayah pula bercuti
Anak muda bernada ghairah
Apa lagi berpesta di malam merdeka
ada yang menderu berlumba haram
Kala orang kesibukan esoknya nak merdeka
Warga dewasa bernada gembira
Merdekalah dari beban kerja
Bebas seketika dari kesesakan lalulintas
Terasa bangga negara menyambut merdeka lagi
Pencinta Sejarah bangga menyelinap ruang dada
Warga emas bernada bangga
Bangga kerna jerih perih pejuang nyata berbaloi
Berbaloi pabila kita saban hari menghirup udara merdeka
Udara merdeka di bumi yang merdeka
Kerna itulah empat suara
Merdeka yang dilaung
Nadanya berbeza
Merdeka yang dilaung
Nadanya tak sama.