Rabu, 3 Februari 2010

KENAPA KITA PERLU BELAJAR SEJARAH?

PEMIKIRAN KITA AMAT CETEK / DANGKAL ANDAI TIDAK MENGETAHUI ‘SEJARAH’

SETIAP YANG BERLAKU / WUJUD DI SEKELILING KITA BERKAIT DENGAN SEJARAH

KITA MEMPEROLEH NILAI PATRIOTISME MELALUI SEJARAH

KITA AKAN MEMUPUK RASA CINTA DAN BANGGA AKAN NEGARA KERANA KITA TAHU SEJARAH

SEJARAH SEBAHAGIAN DARI SUKATAN PELAJARAN
SEJARAH ADALAH SUBJEK TERAS

JADI KITA MESTI BELAJAR SEJARAH
JADI KITA MESTI LULUS SEJARAH
JADI KITA MESTI SKOR ‘A’

Selasa, 2 Februari 2010

PESANAN CIKGU ANNA SR

BELAJAR SEJARAH
PASTI SERONOK !!!

HIS STORY
WILL BE
YOUR STORY
MY STORY
OUR STORY

TEKNIK MENGINGAT FAKTA SEJARAH

Teknik Rantaian

fakta-fakta sejarah (buat kata kunci)
kata kunci dirantaikan menjadi sebuah cerita.
cerita biarlah yang melucukan / tidak logik/ keterlaluan – akan mudah ingat
kita mesti membayangkannya (imaginasi) – mesti nampak


Contoh:
Zaman Paleolitik [Ting. 1]
Kata kunci:
pindah-randah, batu, berburu, hasil hutan, ikan, Bukit Jawa, Gua Niah, Tingkayu


Cerita:
Pada suatu hari Abu ni duduk di Kuala Besut, tapi kena pindah sebab keluarga dia suka berpindah randah, setiap kali berpindah Abu suka kutip anak batu. Ayah Abu pula suka benar pergi berburu, emak dia pula kutip hasil hutan, masa tengah kutip hasil hutan, tiba-tiba emak si Abu terjumpa ikan atas bukit, masa si emak nak gi ambik ikan tu, terjumpa pula asam jawa atas bukit .Tepi bukit tu pula ada gua, emak diapun masuk dalam gua lalu terjumpa dengan budak nama ANiah dalam gua dok bertapa. Niah tu petik jari lalu berbunyi ‘ting’ maka terbukalah pintu kayu tepi gua tu.’tingkayu’…..


Contoh:
Faktor Campurtangan British di Negeri-negeri Melayu [Ting. 2]
Kata kunci:
Kebimbangan,Bahan mentah,Terusan Suez,Pelabur, Revolusi Industri, Dasar


Cerita:
Pak Samad…seorang pengusaha keropok lekor secara kecil-kecilang…buat kat rumah jah! Pak Samad selalu beli ikang dari kemamang tapi gak satu hari Cik Dollah dak buleh hantar ikang ko pak Samad maka Pak Samad dakleh dok diam…dalam kebimbangan sokmo takut terputus bekalan bahan mentah utama nak buat keropok lekor.. Ikang le..Tapi Pak samad dak putus asa..diapun menternakle ikang..kat dalam Terusan Suez belakang rumah dia..banyak sungguh ikang…sampai berlebih-lebih lah pulok…maka ramailah pelabur-pelabur nak melabur modal untuk terusan Pak Samad…kononnya nak buat satu revolusi industri tapi Pak Samad dak tamak…dia tetap mengekalkan dasarnya nak niaga kecil-kecilang jah.


Contoh:
Faktor Kejayaan Jepun mengalahkan British
[Ting. 3]
Kata kunci:
Kesatuan Melayu Muda, perancangan awal,taktik serangan, kelemahan,semangat tentera, pakatan,kelengkapan perang


Cerita:
Azam merupakan seorang tentera yang memang berazam tinggi seperti namanya….memang patutlah emaknya bubuh nama Azam kat Azam ni. Demi memantapkan lagi azamnya yang tinggi tambahan pula azam ni masih muda bebenar…diapun masuklah persatuan Kesatuan Melayu Muda. Satu hari pihak tentera nak hantar azam sebagai perisik di Iraq, azam dengan semangat berkobar-kobar menyahut cabaran tersebut dengan membuat perancangan awal dengan merancang segala taktik serangan andai sebarang musuh dapat mengesan. Di samping membuat beberapa latihan asas untuk membaiki kelemahan
diri agar dapat beraksi dengan semangat tentera yang waja…silap-silap kerajaan bagi proton waja free…Untuk mengukuhkan lagi azamnya, maka azam juga telah membuat pakatan dengan Jepun-Thailand kerana memerlukan kelengkapan perang tentera Jepun yang canggih-manggih kononnya…padahal Malaysiapun dah canggih…


Contoh:
Ajaran Confucianisme [ting. 4]
Kata kunci:
Kung-fu-tze, Lu , jawatan, mengembara, kepercayaan, dewa, moral, perikemanusiaan, kesusilaan, ibu bapa, pendidikan, masyarakat


Cerita:
Wa dulu, belajar itu kung-fu. Wa terror belajar kung-fu, wa ada jawatan tinggi dalam itu kelab kung-fu, tapi wa letak itu jawatan, Lu tau kenapa? Sebab wa mau mengembara ke Indonesia. Wa mengembara dengan penuh kepercayaan di dada. Masa wa di Indonesia, wa terjumpa itu Kumpulan rock Dewa 19. Wa minat sama rock aa… tapi wa ada moral yang tinggi sebab apa aaa… wa ada perikemanusiaan… wa mengamalkan itu prinsip rukun Negara Malaysia yang kelima ..kesopanan dan kesusilaan. Wa pergi jauh mengembara tapi wa tidak lupa sama wa punya ibu bapa sebab mereka hantar wa pergi sekolah untuk dapat itu pendidikan supaya wa boleh berbakti pada masyarakat……


Contoh:
Kepentingan Perjanjian Persekutuan
TM 1948 [tingkatan 5]
Kata kunci:
Kongsi, Status-quo, kontrak, bertulis, ketuanan, kuasa, sultan, asas, keistimewaan, senarai, kerakyatan, bahagi, lindungi, Islam


Cerita:
Ah Chong merupakan ahli kongsi gelap quo yang berstatus{status-quo}tinggi. Sebelum menjadi ahli kongsi gelap quo, Ah Chong telah menandatangani kontrak secara bertulis bahawasanya dia akan mengakui ketuanan dan kuasa Sultan. Kongsi Gelap Quo namanya je kongsi gelap tetapi aktivitinya semua berasas,sebab itulah ia diberi keistimewaan dan dijamin. Mereka juga mempunyai senarai tugas yang pelbagai. Di samping menjaga kebajikan orang Cina, ia juga menitikberatkan soal kerakyatan semua bangsa di Malaysia. Mereka pandai bahagi tugas selain lindungi sesama mereka dan menjaga kehormatan orang Islam.


SEMOGA APA YANG CIKGU ANNA CATATKAN DI SINI DAPAT MEMBANTU PARA PELAJAR UUNTUK BELAJAR SEJARAH..DAN MENGINGATI FAKTA SEJARAH..
..KITA PERLU MENANAM MINAT..MENCINTAI SEJARAH..BARULAH DAPAT BELAJAR SEJARAH SECARA MUDAH...SELAMAT SKOR "A"

TEKNIK BELAJAR SEJARAH

A:NOTA RINGKAS
ditulis pada kad kecil / kertas A4 yang dipotong 4
menulis isi-isi penting
tajuk demi tajuk / bab demi bab
tulis urutan nombor
guna pen pelbagai warna


B:PETA MINDA

lakaran / gambar (diwarnakan)
selit dengan isi-isi penting
tampal pada dinding / tempat yang sering dilihat


C: AKTIVITI "STUDY GROUP"

(1)Story Telling’

Setiap ahli diberi satu tajuk/tugasan dan menceritakan apa yang dibacanya dalam bentuk cerita dengan menggunakan teknik rantaian [rujuk teknik mengingat]


(2)Esei Jam Randik’
[menengah atas sahaja]

Selepas membuat persediaan, semua ahli kumpulan akan menulis esei dengan ditetapkan masa yang bertepatan dengan markah soalan esei yang hendak dibuat latihan. Ini sebagai latihan agar pelajar dapat menulis esei dalam masa yang ditetapkan


(3)‘Nota Efektif Cetak Rompak’

Setiap ahli kumpulan membuat nota efektif/padat/ringkas sebanyak 10 tajuk setiap orang dan tajuk yang berlainan. Rakan-rakan dalam kumpulan akan ‘photostat’ nota tersebut dan setiap orang akan mendapat 40 tajuk.

Isnin, 1 Februari 2010

RENCANA

‘Sejarah’ seiring Semangat Patriotisme


Sejarah merupakan salah satu subjek teras yang diajar di sekolah menengah. Lantaran itu Sejarah merupakan subjek penting yang menuntut para pelajar untuk mempelajarinya sekaligus menguasainya agar cemerlang dalam peperiksaan. Mengimbau masa lampau sukatan pelajaran di sekolah, pada zaman 1980-an, Sejarah merupakan salah satu subjek elektif yang menjadi pilihan bagi pelajar aliran Sains. Justeru itu, rata-rata di sekolah, pelajar aliran Sains akan mengambil subjek Geografi. Pelajar aliran Sastera dan Perdagangan mengambil subjek Sejarah.


Ekoran dari itulah, pelajar lulusan aliran Sains menyatakan mereka ‘buta Sejarah’- suatu istilah yang menjadi gurauan apabila bertanya sesuatu yang berkaitan dengan ‘Sejarah’.
Malahan suatu ketika, terpapar di dada- dada akhbar tentang perilaku anak-anak Malaysia yang berada di luar Negara tergamak melempar kata-kata berupa nista yang memburukkan nama Negara. Alpanya mereka bertutur sesuatu yang menjejaskan imej dan nama Negara ibarat “mengumpat” ibunda mereka sendiri. Tanah tumpah darah mereka yang banyak berjasa pada mereka tidak mereka kenang, seumpama kacang lupakan kulit.


Perlakuan sedemikian rupa anak-anak yang diibaratkan menderhaka kepada tanah air dikatakan ekoran tipisnya semangat patriotisme dalam diri mereka. Lanjutan dari itu, kajian demi kajian dijalankan, tokoh akademik Negara mensabitkan anak-anak Malaysia yang tidak menebal semangat patriotisme dalam diri ekoran tiada pendidikan Sejarah yang meluas. Mereka hanya didedahkan dengan Sejarah Negara dalam komposisi yang sedikit.


Lantaran itulah, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah yang amat tinggi kewajarannya dengan mewajibkan subjek Sejarah atau dengan kata lain, Sejarah telah dijadikan subjek teras di Sekolah menengah. Melalui Subjek Sejarah inilah, disisipkan pelbagai nilai dan pengajaran yang boleh menebalkan semangat patriotisme generasi muda yang merupakan tonggak Negara.


Pelbagai unsur patriotisme diselitkan dalam sukatan Sejarah agar melalui proses Pengajaran dan pembelajaran Sejarah boleh memupuk semangat patriotisme yang tinggi dalam diri pelajar. Pembelajaran Sejarah bukan setakat kita memperoleh ilmu tentang sejarah Negara kita, malah berupaya memberi ikhtibar dan pengajaran kepada kita agar menjadikan sejarah lampau yang melanda Negara tidak berulang kembali. Saya masih ingat kata-kata dari guru Sejarah saya yang menyatakan ‘Sejarah ini ibarat roda’, ia sentiasa berputar. Peristiwa yang lampau boleh berulang kembali. Jika kita mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang ‘sejarah’ yang telah berlaku, setentunya kita berupaya mengubah ‘sejarah’ yang bakal berlaku.


Mempelajari Sejarah bukan setakat memenuhi keperluan demi peperiksaan semata-mata, tetapi kita perlu mempelajarinya, mendalaminya dan menghayatinya agar ianya dapat menebalkan semangat patriotisme dalam diri kita agar menjadi bangsa Malaysia yang bermaruah tinggi.Ini kerana ‘Sejarah’ juga boleh mengubah ‘sejarah’ hidup kita. Masih belum terlambat bagi kita untuk mendalami ‘Sejarah’ Negara demi melahirkan rupa bangsa Malaysia yang utuh jati diri dan semangat nasionalisme. Jangan jadikan masa sebagai kekangan untuk mengisi diri dengan ‘Sejarah’ yang nyata merupakan suatu ilmu yang kaya dengan nilai dan ikhtibar untuk kita perturunkan kepada generasi yang akan datang.
KAU YANG BERNAMA DR. M
(Untuk kad Ucapan JPN Pulau Pinang sempena persaraan PM)

Dr. M,
Lebih dua dekad lamanya
Kau abadikan diri demi Negara
Suka dan dukamu berbaur sebati
Bersama jerih-perih kemelut politik tanah air
Bukan sekali kau dilambung ombak kritikan
Dilanda badai kemarau ekonomi
Kau tidak gentar mendepakan tangan
Mendepani penyangak mata wang
Kita mampu bangkit
Walau hampir rebah ditiup taufan Sorros
Tanpa berpaut pada dahan IMF
Kita mampu mengharungi
Badai kemelesetan ekonomi dunia
Yang membanjiri Negara
Ianya hasil akal fikirmu

Dr. M,
Kelantangan suaramu
Memperjuangkan kemanusiaan sejagat
Kepimpinanmu jelas terserlah
Kau pembela maruah bangsa manusia
Yang diganyang kerakusan kuasa barat
Suara keamanan kita sama bertempur di tebing barat
Malah suaramu juga lantang
Menjaja nama Negara di persada ekonomi dunia
Kemajuan Negara yang dulunya kusam
Kini gemerlap hasil garapanmu
Kini Malaysia bukan sekadar menghias peta
Malah bergelar tuan rumah acara dunia.

Dr. M,
Kau membawa keyakinan kepada wargamu
Untuk berperanan di peringkat global
Kau membawa keberanian kepada Negara
Untuk menyahut segala cabaran dunia
Keranamu jua perpaduan terjalin ukhwah berpadu
Muhibbah kian dimesrakan rakyat.

Dr. M,
Kau bangkitkan kami dari lena
Kau ingatkan Melayu yang mudah lupa
Kau tak pernah berkira keringatmu yang menitis
Kemesraan jelas terpancar di sinar matamu
Nyata kau pemimpin bersama rakyat
Kejerihan tugasmu terbayang di setiap urat wajahmu
Biarpun begitu,
Tugasmu terlaksana jua.

Dr. M,
Nyata kau pemimpin berwawasan bervisi
Kau nyalakan obor kau gilapkan permata
Kau siapkan bekalan yang cukup sebelum berundur
Supaya kami terus disinari kemajuan
Supaya kami terus dilimpahi keamanan


Dr. M,
Dulu kami belajar bertatih denganmu
Bersama azammu
Bersama tekadmu
Bersama kepimpinanmu
Kini kami bisa berlari
Tangisanmu dalam mendidik kami takkan dipersia
Pastinya kau boleh tertawa kiniu
Kerna kami telah dewasa
Bergelar anak Malaysia
Namamu kan kami ukir
Dalam diari sejarah Negara
Bahawa kau yang bernama Dr. Mahathir Mohammad.

25 Oktober 2003
PESAN CIKGU PADA HARI GURU


Dinihari tiba lagi,
Bersama titisan embun nan nyaman
Tapi dinihari ini tidak seperti hari-hari lepas
Kerna dinihari ini hari guru
Hari yang dinobatkan untuk para guru
Mengenang mengimbau nostalgia jasa guru


Pesan cikgu pada dinihari ini
Langkahmu ke sekolah biar ikhlas
Kerna ikhlasmu bisa menukar
Seembun ilmu yang cikgu titipkan
Menjadi selautan kejayaan di masa depanmu
Ikhlas hatimu pasti terbuka luas lorong ilmu
Untuk kau semat di dada
Buat bekalan kemudian hari.

Pagi ini,
Lapangkan mindamu dengar teguran guru
Kelak rezekimu dilapangkan Esa
Buka mindamu buat guru
Mengalir wacana ilmu
Pasti meresap ke ruang fikirmu
Pasti tak lekang dek masa, tak lapuk dek usia
Terpaku kukuh di kotak akalmu
Kelak kau bias membanggakan dirimu
Sebagai hadiah buat guru.

Petang ini,
Pulangmu biar melangkah gagah
Semangat waja tak luntur
Bagai wira pulang berjuang
Biar bahang mentari panas membakar
Kobarkan semangatmu meniti hari
Kerna esok kau kan kembali
Bersama guru mencorak ilmu nan baru.

Malammu,
Biar berisi kerna ilmu pasti meninggi
Jika usahamu tak kenal jemu
Tekunmu pasti berpalut jaya
Jayamu pasti membawa berkat
Kerna doa cikgu sentiasa bersamamu
Bukan hanya pada hari guru.
KADANG KALA

Kadang kala, aku berasa resah
Melihat anak didikku ponteng kelas
Malah lebih berani ponteng sekolah
Melepak di sederetan kedai
tanpa hala tanpa tuju
dengan gelagat yang haru biru
sedangkan rakan lain,
begitu tekun dalam kelas
menjawab soalan membuat latihan

Kadang kala, aku berasa bimbang
Melihat anak didikku mula berpeleseran
Si teruna menderu laju berlumba haram
Si dara mendakap erat membonceng di belakang
Sedangkan kawan-kawan lain,
Bersoal-jawab dengan guru
Menghurai idea di meja perbincangan
Demi masa depan nan gemilang.

Kadang kala, aku berasa geram
Pabila anak didikku keluar kelas
Tanpa pas kebenaran guru
Mengukur setiap inci kaki lima bangunan sekolah
Kemudian ke kantin mencari makanan
Sedangkan rakan-rakannya
Begitu tekun di bilik KH
Melakar folio membuat kajian
Pengorak langkah arkitek berwawasan


Kadang kala , aku berasa sedih
Anak didikku sudah pandai kurang ajar
Walau berbuih mulutku mengajar
Mereka alpa tidak sedar
Masa depan kelak kian mencabar
Sedangkan rakan-rakan lain
Menyapa guru dengan santun
Di bibir menguntum senyum
Tidak lupa ucap assalamualaikum.

Kadang kala , aku berasa gembira
Pelajarku yang mendengar kata
Ajaran guru tidak alpa
Disemat di dada dipaku di kepala
Mereka inilah yang berjaya
Ke menara gading bukannya satu cerita
Tapi realiti lagi nyata
Bersamamu guru iringkan sepotong doa
Kelak hidupmu bahagia sentiasa
Inilah luahan berserta doa
Dari cikgu untuk anak didik semua

SAJAK

KALIAN LAHIR SEBAGAI ANAK MERDEKA


Kalian anak merdeka
Kerna kalian lahir sesudah merdeka
Kalian lahir sesudah keperitan dan kejerihan pejuang silam
Kalian lahir sesudah Dato’ Bahaman membuka pencak silat perjuangan
Sesudah Mat Kilau bertempik di medan juang
Sesudah Dato’ Onn berkabung menentang Malayan Union
Sesudah bumi bersimbah darah pejuang-pejuang penentang Jepun
Sesudah Bukit Kepong ranap dibaham api komunis
Sesudah Union Jack berlabuh tirai
Kalian lahir sesudah suara Tunku bergema
Di segenap pelusuk tanah air
Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Kalian lahir sebagai anak merdeka
Kalian penyambung wadah perjuangan
Malaysia tercinta sudah merdeka
Tahukah kalian kita sudah merdeka?
Negara merdeka, bebas dari belenggu penjajah
Tapi kalian, sudahkah merdeka?
Kalian berpijak di bumi merdeka
Tapi minda kalian masih dijajah
Diri kalian masih terbelenggu
Dek emosi kalian sendiri.
Wajarkah tindakan kalian membiarkan diri terus dijajah
Dijajah oleh sikap malas
Dijajah oleh perlakuan negatif
Dijajah oleh emosi penuh keseronokan
Penjajah sudah lama tinggalkan bumi tercinta ini
Tapi kenapa kalian masih terjajah
Terjajah oleh sikap sendiri


Berbaloikah pengorbanan Pandak Indut?
Berbaloikah Dato’ Maharaja Lela gugur di Pasir Salak
Berbaloikah Tok Janggut mati di tangan penjajah?
Berbaloikah pengorbanan mereka?
Tidak sedarkah kalian Melayu pernah berkabung demi tanah air ini
Menentang Malayan Union yang mencekik Ketuanan Sultan
Tidak sedarkah kalian, menjelajah bumi tercinta ini
Demi menyatukan rakyat
Demi maruah sebuah Negara Merdeka
Mereka berkorban wang ringgit jua tenaga sehabis daya
Untuk melihat anak cucu mereka bebas…
Bebas dari terus terhimpit
Dari terus terbelenggu
Dari terus terjajah
Demi membawa sebuah kemerdekaan untuk kalian
Andai inilah balasan kalian
Soallah diri kalian,
Berbaloikah pengorbanan mereka.
Merdekalah,
Merdekakanlah diri kalian,
Bebaskanlah diri kalian,
Merdekalah,kerna kalian lahir sebagai anak merdeka
Di bumi merdeka ini.