Isnin, 1 Februari 2010

KAU YANG BERNAMA DR. M
(Untuk kad Ucapan JPN Pulau Pinang sempena persaraan PM)

Dr. M,
Lebih dua dekad lamanya
Kau abadikan diri demi Negara
Suka dan dukamu berbaur sebati
Bersama jerih-perih kemelut politik tanah air
Bukan sekali kau dilambung ombak kritikan
Dilanda badai kemarau ekonomi
Kau tidak gentar mendepakan tangan
Mendepani penyangak mata wang
Kita mampu bangkit
Walau hampir rebah ditiup taufan Sorros
Tanpa berpaut pada dahan IMF
Kita mampu mengharungi
Badai kemelesetan ekonomi dunia
Yang membanjiri Negara
Ianya hasil akal fikirmu

Dr. M,
Kelantangan suaramu
Memperjuangkan kemanusiaan sejagat
Kepimpinanmu jelas terserlah
Kau pembela maruah bangsa manusia
Yang diganyang kerakusan kuasa barat
Suara keamanan kita sama bertempur di tebing barat
Malah suaramu juga lantang
Menjaja nama Negara di persada ekonomi dunia
Kemajuan Negara yang dulunya kusam
Kini gemerlap hasil garapanmu
Kini Malaysia bukan sekadar menghias peta
Malah bergelar tuan rumah acara dunia.

Dr. M,
Kau membawa keyakinan kepada wargamu
Untuk berperanan di peringkat global
Kau membawa keberanian kepada Negara
Untuk menyahut segala cabaran dunia
Keranamu jua perpaduan terjalin ukhwah berpadu
Muhibbah kian dimesrakan rakyat.

Dr. M,
Kau bangkitkan kami dari lena
Kau ingatkan Melayu yang mudah lupa
Kau tak pernah berkira keringatmu yang menitis
Kemesraan jelas terpancar di sinar matamu
Nyata kau pemimpin bersama rakyat
Kejerihan tugasmu terbayang di setiap urat wajahmu
Biarpun begitu,
Tugasmu terlaksana jua.

Dr. M,
Nyata kau pemimpin berwawasan bervisi
Kau nyalakan obor kau gilapkan permata
Kau siapkan bekalan yang cukup sebelum berundur
Supaya kami terus disinari kemajuan
Supaya kami terus dilimpahi keamanan


Dr. M,
Dulu kami belajar bertatih denganmu
Bersama azammu
Bersama tekadmu
Bersama kepimpinanmu
Kini kami bisa berlari
Tangisanmu dalam mendidik kami takkan dipersia
Pastinya kau boleh tertawa kiniu
Kerna kami telah dewasa
Bergelar anak Malaysia
Namamu kan kami ukir
Dalam diari sejarah Negara
Bahawa kau yang bernama Dr. Mahathir Mohammad.

25 Oktober 2003

Tiada ulasan:

Catat Ulasan