KADANG KALA
Kadang kala, aku berasa resah
Melihat anak didikku ponteng kelas
Malah lebih berani ponteng sekolah
Melepak di sederetan kedai
tanpa hala tanpa tuju
dengan gelagat yang haru biru
sedangkan rakan lain,
begitu tekun dalam kelas
menjawab soalan membuat latihan
Kadang kala, aku berasa bimbang
Melihat anak didikku mula berpeleseran
Si teruna menderu laju berlumba haram
Si dara mendakap erat membonceng di belakang
Sedangkan kawan-kawan lain,
Bersoal-jawab dengan guru
Menghurai idea di meja perbincangan
Demi masa depan nan gemilang.
Kadang kala, aku berasa geram
Pabila anak didikku keluar kelas
Tanpa pas kebenaran guru
Mengukur setiap inci kaki lima bangunan sekolah
Kemudian ke kantin mencari makanan
Sedangkan rakan-rakannya
Begitu tekun di bilik KH
Melakar folio membuat kajian
Pengorak langkah arkitek berwawasan
Kadang kala , aku berasa sedih
Anak didikku sudah pandai kurang ajar
Walau berbuih mulutku mengajar
Mereka alpa tidak sedar
Masa depan kelak kian mencabar
Sedangkan rakan-rakan lain
Menyapa guru dengan santun
Di bibir menguntum senyum
Tidak lupa ucap assalamualaikum.
Kadang kala , aku berasa gembira
Pelajarku yang mendengar kata
Ajaran guru tidak alpa
Disemat di dada dipaku di kepala
Mereka inilah yang berjaya
Ke menara gading bukannya satu cerita
Tapi realiti lagi nyata
Bersamamu guru iringkan sepotong doa
Kelak hidupmu bahagia sentiasa
Inilah luahan berserta doa
Dari cikgu untuk anak didik semua
Isnin, 1 Februari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan