Isnin, 1 Februari 2010

RENCANA

‘Sejarah’ seiring Semangat Patriotisme


Sejarah merupakan salah satu subjek teras yang diajar di sekolah menengah. Lantaran itu Sejarah merupakan subjek penting yang menuntut para pelajar untuk mempelajarinya sekaligus menguasainya agar cemerlang dalam peperiksaan. Mengimbau masa lampau sukatan pelajaran di sekolah, pada zaman 1980-an, Sejarah merupakan salah satu subjek elektif yang menjadi pilihan bagi pelajar aliran Sains. Justeru itu, rata-rata di sekolah, pelajar aliran Sains akan mengambil subjek Geografi. Pelajar aliran Sastera dan Perdagangan mengambil subjek Sejarah.


Ekoran dari itulah, pelajar lulusan aliran Sains menyatakan mereka ‘buta Sejarah’- suatu istilah yang menjadi gurauan apabila bertanya sesuatu yang berkaitan dengan ‘Sejarah’.
Malahan suatu ketika, terpapar di dada- dada akhbar tentang perilaku anak-anak Malaysia yang berada di luar Negara tergamak melempar kata-kata berupa nista yang memburukkan nama Negara. Alpanya mereka bertutur sesuatu yang menjejaskan imej dan nama Negara ibarat “mengumpat” ibunda mereka sendiri. Tanah tumpah darah mereka yang banyak berjasa pada mereka tidak mereka kenang, seumpama kacang lupakan kulit.


Perlakuan sedemikian rupa anak-anak yang diibaratkan menderhaka kepada tanah air dikatakan ekoran tipisnya semangat patriotisme dalam diri mereka. Lanjutan dari itu, kajian demi kajian dijalankan, tokoh akademik Negara mensabitkan anak-anak Malaysia yang tidak menebal semangat patriotisme dalam diri ekoran tiada pendidikan Sejarah yang meluas. Mereka hanya didedahkan dengan Sejarah Negara dalam komposisi yang sedikit.


Lantaran itulah, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah yang amat tinggi kewajarannya dengan mewajibkan subjek Sejarah atau dengan kata lain, Sejarah telah dijadikan subjek teras di Sekolah menengah. Melalui Subjek Sejarah inilah, disisipkan pelbagai nilai dan pengajaran yang boleh menebalkan semangat patriotisme generasi muda yang merupakan tonggak Negara.


Pelbagai unsur patriotisme diselitkan dalam sukatan Sejarah agar melalui proses Pengajaran dan pembelajaran Sejarah boleh memupuk semangat patriotisme yang tinggi dalam diri pelajar. Pembelajaran Sejarah bukan setakat kita memperoleh ilmu tentang sejarah Negara kita, malah berupaya memberi ikhtibar dan pengajaran kepada kita agar menjadikan sejarah lampau yang melanda Negara tidak berulang kembali. Saya masih ingat kata-kata dari guru Sejarah saya yang menyatakan ‘Sejarah ini ibarat roda’, ia sentiasa berputar. Peristiwa yang lampau boleh berulang kembali. Jika kita mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang ‘sejarah’ yang telah berlaku, setentunya kita berupaya mengubah ‘sejarah’ yang bakal berlaku.


Mempelajari Sejarah bukan setakat memenuhi keperluan demi peperiksaan semata-mata, tetapi kita perlu mempelajarinya, mendalaminya dan menghayatinya agar ianya dapat menebalkan semangat patriotisme dalam diri kita agar menjadi bangsa Malaysia yang bermaruah tinggi.Ini kerana ‘Sejarah’ juga boleh mengubah ‘sejarah’ hidup kita. Masih belum terlambat bagi kita untuk mendalami ‘Sejarah’ Negara demi melahirkan rupa bangsa Malaysia yang utuh jati diri dan semangat nasionalisme. Jangan jadikan masa sebagai kekangan untuk mengisi diri dengan ‘Sejarah’ yang nyata merupakan suatu ilmu yang kaya dengan nilai dan ikhtibar untuk kita perturunkan kepada generasi yang akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan